Buletin Unit Bimbingan dan Kaunseling
SK Rawang
Ramai pelajar apabila ditanya untuk apa kamu datang ke sekolah? Jawapan mereka “nak belajar”. Untuk apa “nak belajar”? “Nak jadi pandai”. Untuk apa jadi pandai? Kuang! Kuang!kuang!! Sampai sini susah sikit nak jawab.
Pelajar sekalian, Nabi orang Islam iaitu Nabi Muhammad ada meninggalkan pesannya kepada orang tua kita (ibubapa), “Anak-anakmu dilahirkan untuk masa akan datang”. Maknanya jika kamu dilahir pada tahun 2000, kamu ditakdir untuk hidup pada tahun 2020 sebenarnya. Disitulah kehidupan kamu yang sebenar bermula.
Maksud cikgu, kehidupan kamu yang sebenar bermula pada 20 tahun setelah kamu dilahirkan.
Ketika itu (2020), mungkin ada antara ibu dan bapa kamu yang sudah meninggal dunia. Paling tidak, mereka sedang meniti usia hari-hari tua, biasanya ayah akan meninggal dahulu, mak akan menyusul kemudian, kalau pun masih hidup, mata sudah rabun, rambut berguguran, kulit pula kendur, gigi pun gugur, mari sini kata kubur.
Bayangkan waktu itu jika kamu masih hidup tahun 2020, kos kehidupan yang (mungkin) serba mahal, sewa rumah, harga barang, harga rumah, tambang bas anak-anak kamu, ops… ada anak dah? Dan segala keperluan lain. Waktu itu, mungkin ramai antara kamu yang sudah berkeluarga, ehem, ehem. Kecik-kecik dah kawin. Untuk membiaya semua keperluan di atas, kamu terpaksa bekerja, tiada lagi minta duit dari mak ayah macam sekarang. Bahkan sebaliknya, mungkin kamu terpaksa memberi duit untuk keperluan ubat dan sakit ibu bapa kamu. Susah payah semuanya kamu terpaksa tanggung sendiri.
Barangsiapa yang masa tu ada pekerjaan bagus, gaji mahal katakan, boleh lah dia ikut arus dunia, sebaliknya kalau kita tiada pekerjaan yang bagus, kais pagi makan pagi kata orang, jangankan nak bagi duit pada orang tua, untuk isi minyak kereta pun tak cukup.
MENANGISI MASA LALU
Masa tu, kamu mulai sedar, betapa berguna semua ilmu pengetahuan yang cikgu berikan semasa disekolah rendah dulu. Teringatlah cikgu itu yang selalu memekik bila kamu bising, teringatlah cikgu ini yang pernah marah dan denda pelajar yang malas siapkan kerja sekolah.
Ketika itu, kamu baru sedar betapa bergunanya sijil-sijil pelajaran dizaman ini. Nak u-turn semula, nak daftar belajar di SK Rawang, mana boleh! Kamu dah tua.. Ops..sorry...belum tua lah. Tapi memang tak boleh dah. Guru Besar pun mesti terkezut punya, apahal datang sekolah balik?
Habis? Nak buat macam mana? Kalau ada iman dihati, terpaksalah kamu bersabar menempuh hidup sementara menunggu mati. Kalau tak sanggup tanggung semua susah-payah ? Macam mana? Itulah yang jadi penagih dadah, bunuh diri, masya Allah. Kenapa jadi penagih cikgu? Banyak sebablah, antaranya sebab berkawan, yang kedua sebab tak mahu fikir masalah hidup. Mahu lari dari masalah. Dari fikir-fikir, ah.. biarlah, baik aku hisap dadah katanya, kerana bila hisap dadah, aku tak fikir lagi soal susah payah.
Bunuh diri pula? Ops...jangan, itu dosa besar dalam agama. Purata bunuh diri antara kaum di Malaysia, 3 orang India, 2 Cina dan 1 Melayu. Cukup ngeri.
HIDUP PERLU ADA MATLAMAT
Jadi cikgu nak ajak kamu semua, mari kita bina matlamat hidup, SEBAB kita hidup atas kehendak Tuhan, bukan atas permintaan kita, dan kita pun tak tahu sampai bila umur kita. Mungkin singkat atau mungkin lama, tetapi kita tetap akan mati. Betul tak?
Ada 2 keperluan yang perlu kita cari, apa tu? Tiada lain melainkan kejayaan dalam hidup dan sesudah mati.
Kejayaan hidup semasa dewasa nanti bermula di bangku sekolah rendah, jika maju dalam pelajaran dan perangai pun baik, insya Allah akan terus maju, tapi jika tertinggal jauh dari kawan-kawan, patutnya darjah 5 dah boleh baca tulis, namun masih merangkak, taman permainan di eja tamat permanat, hmmm, sikit susah wooo.
Manakala kejayaan di akhirat itu pun bermula di dunia, sifirnya mudah, berjaya kita patuh perintahNya, janji tuhan balasannya syurga disana. Gagal mematuhi syariat Ilahi, yang menjadi peraturan hidup, balasannya api neraka. Nak cuba? Ada berani?
Jadi, kamu perlu putuskan dari sekarang, sama ada kamu mahu masuk golongan yang berjaya atau gagal. Angkat tangan siapa mahu BERJAYA!! Syabas...Cikgu ucapkan syabas dan tahniah.
Seterusnya kita kena atur strategi untuk berjaya, kena ada jalan untuk berjaya, dari awal tadi cikgu sebut, kejayaan kita bergantung erat dengan pelajaran, maka kita kena target semua A dalam mata pelajaran. Apa salah kalau terdaya kan.
Kalau tak dapat semua pun, kurang-kurang Bahasa Melayu mesti A. Sebab kita orang Melayu, bercakap, bergaduh, bergurau dan mengigau semua dalam Bahasa Melayu. Ke ada yang mengigau dalam Bahasa Jerman? Mana tau sejak akhir-akhir ini sering tengok bola kan.
Nabi sendiri ada sebut, ”Siapa mahu kejayaan dunia, hendaklah menuntut ilmu, siapa mahu kejayaan akhirat, hendaklah tuntut ilmu”. Semuanya tak lepas dari ilmu.
Kalau dah ada niat nak capai A dalam semua mata pelajaran, kita perlu mencintai mata pelajaran dan guru-guru yang mengajarnya. Hormati mereka, jaga akhlak dan tutur kata, jangan asal sedap sebut, tapi menyakitkan hati guru, kerana ilmu kamu tak akan berkat.
Kerja sekolah mesti siap. Tak tahu tanya pada yang tahu. Ini ada pelajar, bila mak ayah tanya ada kerja sekolah tak? Dia cakap tak ada. Tak baik tipu mak ayah.
Bila tiba hari ramah mesra, guru kena sindir mak ayah, anak saya langsung tak tulis apa-apa, cikgu tak ajar ke? Tanya mak ayah.
Encik... kami dah ajar, tiap minggu mesti ada kerja rumah, tapi anak encik je yang tak nak buat. Kami kena jaga 60 orang murid, nak semak buku setiap orang, encik tolong lah semak buku dia, ada tak dia buat kerja yang kami bagi.
Hmmm. Ada juga pelajar sanggup tipu mak ayah, datang sekolah pun tak ada buku. Macam mana ni? Ada matlamat tak pelajar macam ni? Sahih dia tak ada matlamat, belum berfikir langsung pasal masa depan. Dia tahu hanya main-main, dan berangan tak sudah.
Hari demi hari berlalu, dia masih macam tu, cikgu pun dah tak peduli dia buat kerja ke tidak, dah penat marah, sampai mau copot jantung cikgu, daripada cikgu sakit, baik tak payah peduli dia.
Ingat murid-murid, UPSR bukan susah sangat, kalau belajar dari awal, tak faham tanya, buat nota belajar, perbanyak latih tubi, segalanya tanpa dipaksa, insya Allah, kejayaan akan menjadi milikmu.
Bila ke sekolah menengah, kamu pun masih meraih kejayaan, sampai ke universiti dan bila keluar universiti, peluang pekerjaan sedang menunggu kamu, bergaji mahal, tempat selesa, beribadat pun boleh. Tak lah macam pekerja rumah batu dan buat jalan.
Pernah tengok orang buat jalan? Cikgu tak kata semua, tapi pengalaman kawan cikgu kerja buat jalan, ramai tak sembahyang. Yang kerja buat rumah batu, ramai tak puasa. Kenapa ya?
Tak mahulah macam tu. Kerja tu memang ibadat, tetapi sembahyang itu wajib. Kadang-kadang tempat kerja tidak mengizinkan kita untuk sembahyang. Lalu, kamu mesti memilih pekerjaan yang boleh kamu beribadat, kerana kita ada satu destinasi lagi, jauh dari dunia ini, iaitu akhirat.
Semoga Tuhan memberikan kamu Hidayah dan Taufiq untuk membina MATLAMAT hidup.
No comments:
Post a Comment