Tuesday, August 31, 2010

Pemergian....Satu Kehilangan

Percayalah bahawa mati itu benar.....Allah berfirman " Setiap yang hidup pasti akan merasai mati " tiada seorang pun yang akan dapat menyangkal kebenarannya. Firman Allah lagi " ..apabila sampai ajalnya, maka Allah tidak akan mempercepat atau melambatkannya walau sesaat ".

Tanggal 30 Ogos 2010 besamaan 20 Ramadhan 1431H, sampailah janji Allah keatas nenda tercinta ( Abastia Bt Yasir @ Sarikam ) . Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika saat umat islam sedang bersahur...kira2 jam 5.20 pagi. Pada pagi yang dingin itu beliau pulang menemui penciptanya pada usia mencecah hampir 80 tahun. Innalillahi wainna ilaihi rojiuun.

Tiada apa yang dapat cucunda berikan melainkan doa agar nenda ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. " Allahummaghfirla warhamha wa'fu anha " amin.

Thursday, August 26, 2010

Lawatan ke Bilik Sumber PPDa SK Taman Desa

Pada 25 Ogos yang lalu, satu lawatan penanda aras bilik sumber PPDa telah dijalankan di SK Taman Desa, Program Lawatan ini melibatkan beberapa buah sekolah rendah dan menengah sekitar Zon Rawang yang terpilih. Wakil dari SK Rawang dihadiri oleh saya sendiri bersama 4 orang pelajar ( Jawatankuasa PPDa ) dari tahun 6.

Program dimulakan dengan ucapan dari Pegawai PPDa dari PPD Gombak diikuti dengan pertunjukan video penubuhan Bilik Sumber PPDa SK Taman Desa.



( Guru dan para peserta sedang mendengar ucapan )






Para Peserta kemudiannya dibawa melawat ke Bilik sumber PPDa dan beberapa lokasi sekitar untuk mendapatkan maklumat serta berkongsi idea bagi menubuhkan sudut, lorong atau bilik PPDa di sekolah masing-masing.





( Murid melawat ke Bilik Sumber sambil membaca info-info berkaitan )





Pelbagai maklumat berkaitan rokok dan dadah dipamerkan juga terdapat bahan model yang diletakkan untuk memberi impak yang lebih menarik.

( Antara bahan pameran yang terdapat dalam bilik sumber )

Selain itu peserta juga dihidangkan dengan selingan persembahan kompang dan nasyid sebelum beralih ke aktiviti seterusnya iaitu " PPDa Explore Race "



( Persembahan Nasyid dari SK Taman Desa )







Banyak maklumat dapat dikongsi bersama sekolah-sekolah yang terlibat sepanjang lawatan ini. Ianya juga memberi idea kepada SK Rawang untuk mewujudkan sudut PPDa yang lebih baik dimasa akan datang. Tahniah diucapkan kepada SK Taman Desa yang akan bertanding mewakili daerah gombak bagi kategori Bilik PPDa ke peringkat Negeri....Syabas

Tuesday, August 17, 2010

Adab Belajar : Imam Al-Ghazali

Dalam mencari keberkatan ilmu , ada banyak garis panduan yang harus kita patuhi dan amalkan. Malangnya panduan ini sudah semakin lama semakin hampir dilupakan oleh generasi anak-anak murid masa kini....cuba kita renungkan sejenak berkaitan adab-adab belajar yang diutarakan oleh Imam Al-Ghazali :

  1. Mendahulukan salam kepada guru dan bersalaman dengan bercium tangan sebagai tanda penghormatan - ikut jantina.
  2. Jangan banyak bercakap di hadapan guru.
  3. Jangan bercakap jikalau tidak ditanya.
  4. Jangan bertanya melainkan jikalau diarah oleh guru.
  5. Jangan menyangkal kata-kata guru.
  6. Jangan mengumpat pelajar lain.
  7. Jangan berbisik di hadapan guru.
  8. Jangan berpaling kiri dan kanan.
  9. Jangan menyoal semasa guru kepenatan.
  10. Berdiri apabila guru bangun (ketika guru keluar dan masuk).
  11. Dengar dengan khusyuk ilmu yang disampaikan walaupun diulang 1000 kali.
  12. Rujuk guru dalam memilih ilmu.
  13. Jangan duduk tempat guru.
  14. Jangan berjalan di hadapan guru kecuali darurat.
  15. Jangan ketuk pintu berulang kali hingga guru keluar menemuinya.
  16. Sentiasa mendapat keredhaannya dan jauhkan kemurkaannya.
  17. Muliakan anak-anak guru.
  18. Selalu berhubung dengan guru.
  19. Elakkan tidak menziarahi guru lebih 40 hari. Ini boleh mengurangkan keberkatan ilmu.
  20. Selalu mendoakan guru selepas setiap solat lima waktu.

Saturday, August 14, 2010

Kempen Anti Rokok dan Dadah


Kempen Anti Rokok dan Dadah peringkat sekolah dengan tema " 1Malaysia Membanteras Dadah " akan bermula pada 16hb Ogos dan dijangka berakhir pada 20 Ogos 2010.
Perbagai aktiviti telah pun dirancang antaranya :
  • Acara Perasmian
  • Pameran
  • Ceramah
  • Pertandingan Mewarna
  • Pertandingan Mendeklamasikan sajak
  • Pertandingan Melukis Poster
  • dan lain-lain
Diharap program yang dirancang akan dapat berjalan dengan lancar dan semua murid akan mendapat manfaat yang baik dan positif.
Untuk maklumat lanjut : Tentatif program.


(Perasmian yang disempurnakan oleh Guru Besar " katakan Tidak ")
(Persembahan koir oleh murid-murid tahun 5)


(Ruang Pameran di Pusat Sumber SK Rawang)

..................................................................................................




Motivasi Lahir Dari Adanya Matlamat

Buletin Unit Bimbingan dan Kaunseling
SK Rawang


Ramai pelajar apabila ditanya untuk apa kamu datang ke sekolah? Jawapan mereka “nak belajar”. Untuk apa “nak belajar”? “Nak jadi pandai”. Untuk apa jadi pandai? Kuang! Kuang!kuang!! Sampai sini susah sikit nak jawab.

Pelajar sekalian, Nabi orang Islam iaitu Nabi Muhammad ada meninggalkan pesannya kepada orang tua kita (ibubapa), “Anak-anakmu dilahirkan untuk masa akan datang”. Maknanya jika kamu dilahir pada tahun 2000, kamu ditakdir untuk hidup pada tahun 2020 sebenarnya. Disitulah kehidupan kamu yang sebenar bermula.

Maksud cikgu, kehidupan kamu yang sebenar bermula pada 20 tahun setelah kamu dilahirkan.

Ketika itu (2020), mungkin ada antara ibu dan bapa kamu yang sudah meninggal dunia. Paling tidak, mereka sedang meniti usia hari-hari tua, biasanya ayah akan meninggal dahulu, mak akan menyusul kemudian, kalau pun masih hidup, mata sudah rabun, rambut berguguran, kulit pula kendur, gigi pun gugur, mari sini kata kubur.

Bayangkan waktu itu jika kamu masih hidup tahun 2020, kos kehidupan yang (mungkin) serba mahal, sewa rumah, harga barang, harga rumah, tambang bas anak-anak kamu, ops… ada anak dah? Dan segala keperluan lain. Waktu itu, mungkin ramai antara kamu yang sudah berkeluarga, ehem, ehem. Kecik-kecik dah kawin. Untuk membiaya semua keperluan di atas, kamu terpaksa bekerja, tiada lagi minta duit dari mak ayah macam sekarang. Bahkan sebaliknya, mungkin kamu terpaksa memberi duit untuk keperluan ubat dan sakit ibu bapa kamu. Susah payah semuanya kamu terpaksa tanggung sendiri.

Barangsiapa yang masa tu ada pekerjaan bagus, gaji mahal katakan, boleh lah dia ikut arus dunia, sebaliknya kalau kita tiada pekerjaan yang bagus, kais pagi makan pagi kata orang, jangankan nak bagi duit pada orang tua, untuk isi minyak kereta pun tak cukup.

MENANGISI MASA LALU

Masa tu, kamu mulai sedar, betapa berguna semua ilmu pengetahuan yang cikgu berikan semasa disekolah rendah dulu. Teringatlah cikgu itu yang selalu memekik bila kamu bising, teringatlah cikgu ini yang pernah marah dan denda pelajar yang malas siapkan kerja sekolah.

Ketika itu, kamu baru sedar betapa bergunanya sijil-sijil pelajaran dizaman ini. Nak u-turn semula, nak daftar belajar di SK Rawang, mana boleh! Kamu dah tua.. Ops..sorry...belum tua lah. Tapi memang tak boleh dah. Guru Besar pun mesti terkezut punya, apahal datang sekolah balik?

Habis? Nak buat macam mana? Kalau ada iman dihati, terpaksalah kamu bersabar menempuh hidup sementara menunggu mati. Kalau tak sanggup tanggung semua susah-payah ? Macam mana? Itulah yang jadi penagih dadah, bunuh diri, masya Allah. Kenapa jadi penagih cikgu? Banyak sebablah, antaranya sebab berkawan, yang kedua sebab tak mahu fikir masalah hidup. Mahu lari dari masalah. Dari fikir-fikir, ah.. biarlah, baik aku hisap dadah katanya, kerana bila hisap dadah, aku tak fikir lagi soal susah payah.

Bunuh diri pula? Ops...jangan, itu dosa besar dalam agama. Purata bunuh diri antara kaum di Malaysia, 3 orang India, 2 Cina dan 1 Melayu. Cukup ngeri.

HIDUP PERLU ADA MATLAMAT

Jadi cikgu nak ajak kamu semua, mari kita bina matlamat hidup, SEBAB kita hidup atas kehendak Tuhan, bukan atas permintaan kita, dan kita pun tak tahu sampai bila umur kita. Mungkin singkat atau mungkin lama, tetapi kita tetap akan mati. Betul tak?
Ada 2 keperluan yang perlu kita cari, apa tu? Tiada lain melainkan kejayaan dalam hidup dan sesudah mati.

Kejayaan hidup semasa dewasa nanti bermula di bangku sekolah rendah, jika maju dalam pelajaran dan perangai pun baik, insya Allah akan terus maju, tapi jika tertinggal jauh dari kawan-kawan, patutnya darjah 5 dah boleh baca tulis, namun masih merangkak, taman permainan di eja tamat permanat, hmmm, sikit susah wooo.
Manakala kejayaan di akhirat itu pun bermula di dunia, sifirnya mudah, berjaya kita patuh perintahNya, janji tuhan balasannya syurga disana. Gagal mematuhi syariat Ilahi, yang menjadi peraturan hidup, balasannya api neraka. Nak cuba? Ada berani?

Jadi, kamu perlu putuskan dari sekarang, sama ada kamu mahu masuk golongan yang berjaya atau gagal. Angkat tangan siapa mahu BERJAYA!! Syabas...Cikgu ucapkan syabas dan tahniah.

Seterusnya kita kena atur strategi untuk berjaya, kena ada jalan untuk berjaya, dari awal tadi cikgu sebut, kejayaan kita bergantung erat dengan pelajaran, maka kita kena target semua A dalam mata pelajaran. Apa salah kalau terdaya kan.

Kalau tak dapat semua pun, kurang-kurang Bahasa Melayu mesti A. Sebab kita orang Melayu, bercakap, bergaduh, bergurau dan mengigau semua dalam Bahasa Melayu. Ke ada yang mengigau dalam Bahasa Jerman? Mana tau sejak akhir-akhir ini sering tengok bola kan.

Nabi sendiri ada sebut, ”Siapa mahu kejayaan dunia, hendaklah menuntut ilmu, siapa mahu kejayaan akhirat, hendaklah tuntut ilmu”. Semuanya tak lepas dari ilmu.


Kalau dah ada niat nak capai A dalam semua mata pelajaran, kita perlu mencintai mata pelajaran dan guru-guru yang mengajarnya. Hormati mereka, jaga akhlak dan tutur kata, jangan asal sedap sebut, tapi menyakitkan hati guru, kerana ilmu kamu tak akan berkat.

Kerja sekolah mesti siap. Tak tahu tanya pada yang tahu. Ini ada pelajar, bila mak ayah tanya ada kerja sekolah tak? Dia cakap tak ada. Tak baik tipu mak ayah.

Bila tiba hari ramah mesra, guru kena sindir mak ayah, anak saya langsung tak tulis apa-apa, cikgu tak ajar ke? Tanya mak ayah.

Encik... kami dah ajar, tiap minggu mesti ada kerja rumah, tapi anak encik je yang tak nak buat. Kami kena jaga 60 orang murid, nak semak buku setiap orang, encik tolong lah semak buku dia, ada tak dia buat kerja yang kami bagi.

Hmmm. Ada juga pelajar sanggup tipu mak ayah, datang sekolah pun tak ada buku. Macam mana ni? Ada matlamat tak pelajar macam ni? Sahih dia tak ada matlamat, belum berfikir langsung pasal masa depan. Dia tahu hanya main-main, dan berangan tak sudah.
Hari demi hari berlalu, dia masih macam tu, cikgu pun dah tak peduli dia buat kerja ke tidak, dah penat marah, sampai mau copot jantung cikgu, daripada cikgu sakit, baik tak payah peduli dia.

Ingat murid-murid, UPSR bukan susah sangat, kalau belajar dari awal, tak faham tanya, buat nota belajar, perbanyak latih tubi, segalanya tanpa dipaksa, insya Allah, kejayaan akan menjadi milikmu.

Bila ke sekolah menengah, kamu pun masih meraih kejayaan, sampai ke universiti dan bila keluar universiti, peluang pekerjaan sedang menunggu kamu, bergaji mahal, tempat selesa, beribadat pun boleh. Tak lah macam pekerja rumah batu dan buat jalan.

Pernah tengok orang buat jalan? Cikgu tak kata semua, tapi pengalaman kawan cikgu kerja buat jalan, ramai tak sembahyang. Yang kerja buat rumah batu, ramai tak puasa. Kenapa ya?

Tak mahulah macam tu. Kerja tu memang ibadat, tetapi sembahyang itu wajib. Kadang-kadang tempat kerja tidak mengizinkan kita untuk sembahyang. Lalu, kamu mesti memilih pekerjaan yang boleh kamu beribadat, kerana kita ada satu destinasi lagi, jauh dari dunia ini, iaitu akhirat.

Semoga Tuhan memberikan kamu Hidayah dan Taufiq untuk membina MATLAMAT hidup.

Solat Hajat UPSR 2010


(Solat Hajat yang dijalankan didataran sekolah)


Salam,
Telah menjadi kelaziman pada setiap tahun, pihak sekolah dan Jawatankuasa Kecemerlangan UPSR akan menjalankan program solat hajat berjamaah bersama semua murid tahun 6,solat hajat ini akan dilakukan selama 40 hari berturut-turut, dan Alhamdulillah pada tahun ini program ini berjalan penuh disepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak. Moga2 dengan kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan ini, Ibadah solat hajat yang dilakukan mendapat rahmat dari Allah dan dimakbulkan segala hajat yang dipohon...
Program Solat Hajat :-

Tarikh: 11 Ogos - 20 Sep 2010
Masa : 7.30 pagi
Tempat: Dataran Sekolah


Dijemput kepada semua guru yang berkelapangan untuk sama-sama turut serta dalam program solat hajat ini.
dan kepada semua murid tahun 6, hayatilah ibadah solat hajat yang dikerjakan ini dengan penuh rasa ketaqwaan dan keimanan. Moga-moga segala hajat akan dikabulkan dan mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti. Insya'allah. Amin.......



(Mudah-mudahan pencapaian UPSR 2010 akan terus cemerlang)

Saturday, August 7, 2010

Biodata

Nama : Heerman Mohd Noh
Alamat : SK Rawang, Jln Kuala Garing, 48000 Rawang
Tel : 03-60918453 ( Pej )

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam -Universiti Islam Antarabangsa
Diploma Pendidikan ( Bimbingan & Kaunseling ) - Institut Perguruan Ilmu Khas

Kerjaya : Pegawai Sumber Manusia - (2000 - 2001)
Perunding Khidmat Pelanggan - ( 2001 - 2005)
Guru - ( 2007 - kini )

Pencapaian : Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ( 2009 )